Malaysia memiliki peluang cerah untuk memperbaiki pungutan pingat emas dalam Sukan SEA Kemboja, tahun depan, apabila terjun dan hoki antara 41 jenis sukan yang akan dipertandingkan.

Pengumuman itu dibuat Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, walaupun tidak semua sukan dan acara yang Malaysia akan disertai.

Dalam edisi ke-31 di Hanoi, berbasikal trek, boling padang, pelayaran, dan skuasy antara sukan dan acara kekuatan Malaysia yang tidak dipertandingkan.

Norza turut berkongsi kepada Astro Arena bahawa keputusan jumlah sukan yang didaftarkan untuk Sukan SEA Kemboja akan diketahui selewat-lewatnya 11 Oktober depan selain menjelaskan punca tidak menyertai kesemuanya.

"(Temasya di) Kemboja banyak mempertaruhkan sukan (teras) di Malaysia dan sukan-sukan yang lain.




"Walaupun banyak (acara) sukan (dipertandingkan), Malaysia perlu ambil keputusan yang pragmatik.

"Sama ada hantar peserta dalam semua sukan yang akhirnya menjadi penumpang sahaja atau memasuki sukan yang boleh menaikkan peluang untuk kita dapatkan medal, sedangkan ada sukan yang memihak tuan rumah.

"Sebelum 11 Oktober, sekretariat kami akan berjumpa terlebih dahulu antara MSN (Majlis Sukan Negara), MOM dan ISN (Institut Sukan Negara mengenai) untuk menentukan apakah pendekatan kami bagi Sukan SEA Kemboja," katanya dalam Mesyuarat Jawatankuasa MOM di ibu negara hari ini.