215 hari menuju ke pembukaan Sukan SEA 2023, pelbagai persiapan dilakukan terutama percaturan mengekalkan prospek lubuk emas kontinjen negara di Kemboja.

Tumpuan khusus perlu diberikan buat sukan terjun yang menuai kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan dalam temasya di Hanoi, Mei lalu.

Kini timbul persoalan adakah skuad penerjun senior bertaraf olimpian harus dikekalkan atau sebaliknya?

Kerisauan itu menjadi agenda utama selepas tuan rumah memberi bayangan awal untuk hanya mempertandingkan empat pingat emas menerusi dua acara sahaja.

Senario ini meletakkan kem Malaysia dalam dilema dalam menetapkan adakah temasya dwi-tahunan itu relevan dijadikan pentas pendedahan menjelang Sukan SEA Bangkok Thailand, 2025 serta kuala lumpur 2027.

Difahamkan kekurangan acara lubuk emas di kemboja disebabkan penyenaraian sukan tradisional berbanding sukan bertaraf Olimpik.

"Kami akan menghantar penerjun muda bagi kategori lelaki tetapi untuk wanita, kami kena tengok dulu.

"Kami tidak mempunyai pelapis dalam pasukan kebangsaan. Kami betul-betul kekurangan pelapis, ini juga menjadi kebimbangan kami.

"Kalau boleh kami ingin menghantar Kimberly (Bong) dan (Eilisha) Rania.

"Ketika ini Rania sedang mempelajari terjunan 10m. Saya harap dia dapat ke Sukan SEA tahun depan.

"Andai hantar penerjun muda, sudah tentu kita tidak boleh menjangkakan emas dalam penyertaan pertama mereka, kalau tidak kami akan menggandingkan penerjun muda dan senior, " kata pengurus pasukan terjun negara, Datuk Leong Mun Yee.