Hasrat pemain ping pong wanita negara, Ho Ying, untuk ke penentuan pingat emas tidak kesampaian apabila terkandas dalam separuh akhir untuk membawa pulang pingat gangsa.

Dia tewas 0-4 kepada pemain Thailand, Suthasini Sawettabut, dengan keputusan 9-11, 3-11, 4-11 dan 9-11 di Gimnasium Hai Duong, sebentar tadi.

Set pertama menyaksikan Ho Ying beraksi baik dengan mendahului 8-5 sebelum lawannya itu bangkit mengejar 8-7.

Walaupun mendahului 9-7, pemain negara berumur 23 tahun itu terus buntu untuk memuktamadkan kemenangan apabila tunduk 9-11.

Dua set berikutnya Ho Ying gagal memberikan tentangan apabila mudah tewas 3-11 dan 4-11.

Set keempat berlangsung sengit dengan kedudukan terikat 8-8 sebelum Ho Ying mendahului 9-8 sebelum kembali terikat 9-9, namun tetap dinafikan dua mata akhir untuk pertarungan berkesudahan 9-11.