Petinju negara, Ahmad Shaharom Mhammad Imdad, gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir acara dalam acara bantamweight saingan Sukan Komanwel Birmingham, sebentar tadi.

Ahmad Shaharom tewas mudah kepada petinju Scotland, Matthew McHale selepas pengadil membuat keputusan menghentikan pertarungan.

Turun selaku pentinju bukan pilihan bertemu lawan yang lebih berpengalaman, jelas Shaharom yang masuk ke gelanggang serba merah tidak berdaya memberikan tentangan.

Memulakan pusingan pertama, Shaharom pada awalnya dapat menyaingi lawan dari Scotland itu dan tidak ketinggalan dalam kiraan mata.

Tamat pusingan pertama, Shaharom ketinggalan 9-10 kepada McHale.

Masuk pusingan kedua, McHale menukar rentak dengan lebih tangkas dan pantas di atas gelanggang.

Ini menyaksikan beberapa tumbukan padu tepat mengenai muka Shaharom yang memaksa pengadil memberikan kiraan lapan kepada Shaharom (visual referee standing eight count).

Shaharom cuba bangkit tetapi ternyata tidak mampu saingan lawannya dan ketinggalan 17-20 selepas berakhir pusingan kedua.

Bersambung pusingan terakhir, dengan pertahanan Shaharom sudah luntur, McHale mengambil kesempatan dengan melepaskan beberapa tumbukan tepat ke muka Shaharom.

Ini menyaksikan Shaharom sekali lagi diberikan standing eight count oleh pengadil.

Dan menuju 39 saat sebelum pusingan ketiga berakhir, satu kombinasi tumbukan tangan kanan dan kiri McHale tepat mengenai muka Shaharom, hingga memaksa pengadil Seru Whippey dari Fiji untuk menghentikan pertarungan, sekaligus kemenangan buat McHale.