Puchong United BC merampas kedudukan teratas Kumpulan B, Kejohanan Badminton Purple League dengan menewaskan kelab Thailand, Sena Bangkok Club, 14-5 di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

Perseorangan lelaki utama, Lim Chi Wing, mempamerkan dominasi ke atas Kachain Buarung untuk mencatatkan kemenangan 3-0 dengan keputusan 11-5, 11-6, 11-4.

Soniia Cheah, yang turun sebagai perseorangan wanita Puchong United, bagaimanapun, tewas tipis 2-3 kepada Busanan Ongbumrungphan selepas bertarung selama 39 minit.

Akan tetapi, tiga perlawanan terakhir jelas memihak kelab wakil negara itu bermula dengan kemenangan 3-2 beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi ke atas Kittisak Namdash-Tan Wee Kiong.

Beregu campuran, Tan Kian Meng-Goh Liu Ying, kemudian memastikan kemenangan ketiga Puchong United dengan keputusan 3-0 ke atas Pongsakorn Thongkham-Peeraya Munkitamorn.

Menamatkan hari gemilang Puchong United adalah perseorangan lelaki kedua, Liew Daren, yang hanya memerlukan 20 minit untuk menundukkan Kittipong Imnark 3-0.

Dengan keputusan itu Puchong United bergelar juara Kumpulan B dengan 41 mata meninggalkan Sena Bangkok di tempat kedua 33 dengan mata.

Mereka seterusnya akan bertemu Ampang Jaya BC dalam aksi separuh akhir Sabtu ini.



Keputusan lain:
Serdang BC kk Ho Chi Minh City BC 8-9

"Kredit foto: Puchong United BC