'Dia bukan kawan baik saya', itu seloroh jurulatih interim Selangor FC, Nidzam Jamil terhadap pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain, apabila kedua-dua pasukan bertembung untuk aksi Liga Super Rabu ini.

Bekas pertahanan Selangor itu jelas enggan menjadikan sentimen kawan sebagai penghalang untuk melakukan permulaan sempurna ketika Gergasi Merah masih belum berjaya menewaskan Sang Penyu sejak Mac 2019.

"Saya berasakan ini merupakan satu tanggungjawab yang besar buat semua pihak. Saya hadir untuk membantu pasukan dan berusaha untuk meningkat ke tahap lebih tinggi," kata Nidzam.

Bertemu Terengganu, Nidzam berkata, "Ini merupakan perlawanan yang sangat baik kerana selepas kami tewas di separuh akhir Piala FA, ini adalah peluang untuk cuba melakukan yang terbaik.

"Saya tidak memikirkan tentang rekod pertemuan, perkara paling penting adalah memastikan setiap pemain dapat memberikan yang terbaik dan menghadirkan keputusan positif buat penyokong."