Jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan, meneruskan kecemerlangannya dalam Kejohanan Angkat Berat Asia dengan memecahkan rekod remaja Asia bagi kategiori 61 Kilogram dalam acara Clean and Jerk di Bahrain hari ini.

Atlet berusia 20 tahun itu melakukan angkatan seberat 160 kilogram dalam acara berkenaan selepas turut cemerlang dengan angkatan 113 kilogram dalam acara snatch.

Secara keseluruhan, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham itu mengumpulkan catatan 273 kilogram untuk menduduki tangga teratas Kumpulan B dan berpeluang cerah untuk muncul juara keseluruhan kategori itu selepas saingan Kumpulan A berakhir.

"Ia merupakan suntikan semangat buat saya untuk terus bersungguh-sungguh dalam latihan. Saya akan buat yang lebih baik selepas ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly.